fbpx

Tahap oksigen menurun, Shahrulezad dipindahkan ke HSB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHRULEZAD disahkan positif Covid-19 lima hari lalu.

PETALING JAYA – Berikutan tahap oksigen dalam badan menurun akibat kesan Covid-19, sutradara dan penerbit Shahrulezad Mohameddin dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), semalam.

Bagaimanapun, pengarah drama rantaian Nur itu memaklumkan, keadaannya semakin baik selepas dipindahkan ke hospital dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Disebabkan tahap oksigen rendah, akhirnya saya dipindahkan ke HSB. Jangan risau, tiada isu serius, cuma kelengkapan di MAEPS untuk kes pesakit kekurangan oksigen tidak secanggih di hospital ini.

“Lagipun, MAEPS dalam proses penutupan sebab kes Covid-19 di Malaysia semakin menurun. Jadi, banyak peralatan seperti mesin oksigen sudah dipindahkan.

“Jadi, pihak MAEPS memutuskan pesakit yang berdepan oksigen rendah perlu dipindahkan ke HSB. Di sini, lengkap dan canggih atas pemantauan doktor.

“Bermula malam ini, saya jadi warga HSB,” tulisnya menerusi hantaran dalam Instagram sambil berkongsi gambar mengenakan alat bantuan pernafasan.

Pada 2 November lalu, pemilik syarikat produksi Radius One itu mengesahkan dirinya positif Covid-19 sebelum menjalani kuarantin di MAEPS dua hari lalu.

Selain meminta sesiapa yang berurusan dengannya menjalani ujian calitan, dia turut menghentikan penggambaran drama terbaharu, Khilaf Asmara yang dibintangi Fasha Sandha, Nelydia Senrose dan Fattah Amin.

Sementara itu katanya, paling utama kini adalah mengikut saranan pakar perubatan bagi membolehkan kesihatannya dapat dipulihkan.

“Setakat ini, oksigen saya sudah 98 peratus. Jika ditanggalkan takut oksigen saya jatuh balik. Sekarang, doktor dalam proses nak rawat supaya sistem imunisasi badan mampu melawan ‘viral load’ dalam darah.

“Doktor memberikan saya steroid untuk menghalang keradangan dalam organ dalaman. Tetapi, kesan steroid ini akan menaikkan gula dalam darah.

“Untuk pesakit diabetes seperti saya, situasi ini memang seram jika gula naik namun, doktor memutuskan memberi insulin buat sementara waktu hinggalah masalah keradangan dalam badan reda gara-gara Covid-19.

“Lagi satu, doktor juga memberikan saya suntikan untuk mencairkan darah sebab kuman Covid-19. Sebab boleh membuatkan darah menjadi pekat,” katanya.

Pada masa sama, pengkarya berusia 49 tahun itu tidak ketinggalan menasihatkan sesiapa yang merasakan kurang sihat supaya terus membuat ujian calitan.

“Apabila tidak sedap badan, terus sahaja membuat ujian Rapid Test Kit (RTK) atau Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Kalau keputusan ujian calitan negatif, jangan lupa kuarantin diri. Sebab saya takut simptom Covid-19 lambat memberi kesan,” kongsinya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI