KUALA NERANG – Sebuah rumah milik Timbalan Imam Besar Masjid Zahir, Alor Setar musnah dalam kebakaran di Kampung Perik di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu mengakibatkan seluruh rumah dan tiga kenderaan terbakar.
Mangsa, Syeikh Khairul Firdaus Abu Bakar, 39, berkata, ketika kejadian hanya isteri serta dua anaknya yang berusia setahun dan tiga tahun sahaja berada di rumah.
“Ketika kejadian saya sedang mengajar di Masjid Kuar Jawa, Alor Janggus dan hanya terima panggilan telefon daripada ayah yang tinggal berdekatan.
“Sebaik mengetahui tentang kejadian, saya terus bergegas pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Perik di sini hari ini.
Dalam pada itu isterinya, Azmita Ahmad, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang mengemas dapur sebelum menyedari api di ruang tengah rumah. – K! ONLINE