GUA MUSANG – Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM4 juta bagi keperluan logistik pengangkutan udara dalam Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) kepada penduduk Orang Asli di Kelantan sejak lebih dua bulan lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, program berkenaan menggunakan bantuan logistik pengangkutan udara iaitu helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, kos berkenaan meliputi tiga siri Movak yang dilaksanakan di kampung pedalaman bermula sejak September lalu.
“Kerajaan telah melaksanakan tiga siri Movak ke kampung Orang Asli pedalaman di Kelantan.
“Di samping melaksanakan vaksinasi kepada komuniti pedalaman, JBPM juga membantu membawa makanan yang disumbangkan oleh ahli politik, kerajaan dan badan sukarela termasuk kerabat diraja di kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya. – K! ONLINE.