PORTIMAO – Juara baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Fabio Quartararo menegaskan, dia tidak akan menggunakan No.1 pada jenteranya musim depan kerana menganggap dirinya masih belum layak dengan nombor tersebut.
Justeru, pelumba pasukan Monster Energy Yamaha itu akan terus menggunakan No. 20, sama seperti yang digunakan ketika menceburkan diri dalam sukan permotoran berkenaan.
Kata Quartararo, dia tidak akan sesekali menggunakan nombor tersebut sehingga ke penghujung kariernya kerana menganggap No. 20 yang digunakan sekarang sangat bermakna dalam hidupnya.
“Kita akan menyaksikan nombor ini (No. 20) di jentera saya pada musim depan kerana saya memulakan karier dengan No. 20 selain tidak menganggap diri sendiri sebagai No. 1.
“Saya akan kekal dengan nombor sedia ada sehingga ke akhir karier kerana nombor itulah yang membuatkan saya mahu menjadi seorang pelumba ketika berusia empat tahun. Ia sangat istimewa kepada saya,” katanya.
Pada masa sama, pelumba dari Perancis itu juga tekad untuk membantu pasukannya muncul juara dalam kategori pengeluar menjelang dua perlumbaan terakhir di Portugal dan Valencia.
“Secara jujur, saya tidak tertekan dengan situasi sekarang kerana sudah capai sasaran peribadi. Bagaimanapun, saya tetap akan berikan yang terbaik bagi membantu pasukan muncul juara,” ujar Quartararo. – AGENSI