PETALING JAYA – Pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin lebih dua bulan lalu sememangnya memberi impak besar terhadap pelawak terkenal Shuib yang mengakui masih payah untuk melalui kehidupan sehariannya sebagai bapa tunggal.
Manakan tidak, kehilangan isteri tersayang membuatkan Shuib, 37, terpaksa bertemu dengan pakar psikiatri hampir setiap minggu untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental.
Katanya, dia akan menziarahi kubur isterinya setiap Isnin dan Jumaat untuk berkongsi perasaannya.
“Sehingga kini, saya tak akan bercerita dengan orang lain sekiranya ada masalah walaupun dengan mak atau mentua. Saya hanya boleh pergi ke pusara isteri dan berkongsi dengannya.
“Disebabkan hal itu juga, setiap minggu saya akan berjumpa doktor peribadi yang pernah menjaga Siti Sarah untuk memeriksa kesihatan tahap saya. Lebih kurang pakar psikiatri lah,” katanya.
Tambah ahli kumpulan Sepahtu berkenaan, pertemuannya dengan doktor bagi memantau tahap kesihatan badan dan mentalnya agar berada dalam keadaan yang baik.
“Perjumpaan tersebut juga bagi memastikan kesihatan mental saya dalam keadaan baik sebab berkait rapat juga dengan emosi dan badan kita.
“Syukur saya ada keluarga yang sangat baik untuk bantu menjaga keluarga kecil saya.
“Alhamdulillah sekarang ini kami sering buat aktiviti yang tidak pernah dilakukan sebelum ini seperti mengaji setiap malam dan solat berjemaah. Jadi perkara seperti ini sangat membantu kesihatan mental saya,” katanya.
Meskipun begitu, pemilik nama penuh Shahmira Muhamad itu tetap bersyukur kerana emosi tiga anaknya masih dalam keadaan terkawal.
“Saya akui kesukaran yang saya hadapi sepanjang bergelar bapa tunggal ialah emosi. Saya rasa itu yang paling sukar buat saya.
“Alhamdulillah emosi anak-anak terkawal tetapi berbeza dengan saya kerana hampir semua benda saya lakukan dengan Sarah. Bila dia tiada, saya tak rasa hilang separuh, sebaliknya hilang hampir semua.
“Kalau ada masalah dalam bisnes atau peribadi, saya rujuk pada dia. Jadi bila dia tiada, saya tak tahu nak rujuk pada siapa,” tuturnya lagi.
Terdahulu, negara digemparkan dengan berita kematian Siti Sarah, 37, pada 9 Ogos lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur akibat jangkitan Covid-19.
Untuk rekod, Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.
Hasil perkahwinan, Shuib dan Allahyarham dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia tiga bulan. – K! ONLINE