Penyanyi rap, Travis Scott melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terkorban akibat tragedi penganjuran festival muzik kendaliannya, Astroworld di Texas, Houston, Amerika Syarikat (AS), pada malam Jumaat lalu.
Menerusi untaian kiriman video InstaStory, teman lelaki kepada mogul kecantikan, Kylie Jenner itu memaklumkan, pihaknya sedang berusaha mengenal pasti identiti keluarga mangsa yang terlibat untuk memberikan bantuan.
“Saya mendoakan mereka yang kita telah hilang malam tadi (Jumaat). Sebenarnya, pihak kami sekarang sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti keluarga mangsa agar dapat membantu mereka pada waktu yang sangat sukar sekarang ini.
“Kalaulah saya nampak apa sedang berlaku, saya hentikan acara dan bantu mereka dapatkan bantuan yang mereka perlukan. Saya tak boleh bayangkan kekecohan situasi yang berlaku,” kata pelantun lagu Sicko Mode itu.
Dilihat dalam keadaan kekusutan disebabkan tragedi yang berlaku, Travis turut berkata, pihaknya sedia dan komited memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa agar semuanya dapat diselesaikan.
“Pihak kami telah berhubung rapat dengan semua orang untuk selesaikan perkara ini. Bandar Houston, pihak polis dan bomba. Semua orang menghulurkan bantuan agar perkara ini disiasat.
“Kalau kalian ada sebarang informasi, tolong hubungi pihak berkuasa tempatan. Semua orang, teruskan doa kalian.
“Saya sangat berdukacita dan saya tak pernah menjangkakan perkara begini akan berlaku. Saya akan usahakan segala-galanya dan berikan maklumat terkini tentang keadaan semasa apa yang berlaku,” kata Travis lagi.
Terdahulu, sekurang-kurangnya lapan maut dan lebih 300 orang cedera dalam insiden rempuhan pada malam pembukaan festival muzik anjuran Travis di Houston, Texas, AS.
Menurut pihak berkuasa, suasana panik tercetus selepas orang ramai membanjiri kawasan di hadapan pentas Festival Astroworld sekitar pukul 9 hingga 9.15 malam (waktu tempatan) pada Jumaat.
Identiti lapan yang maut belum didedahkan, namun Datuk Bandar Houston, Sylvester Turner, memaklumkan antara mangsa korban rempuhan konsert termasuklah remaja berusia 14, 16, 21, 23, dan 27 tahun.
Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dilaporkan sedang berada dalam keadaan kritikal disebabkan rempuhan konsert yang dikenali sebagai ‘Mosh Pit’ dalam kalangan para penggemar konsert itu.
Dianggarkan, sekitar 50,000 pengunjung menghadiri festival muzik berkenaan dan disebabkan insiden yang berlaku, penganjur membuat keputusan membatalkan hari kedua dan ketiga festival berkenaan yang dijadualkan mempamerkan artis lain seperti SZA, Bad Bunny dan 21 Savage. – K! ONLINE