fbpx

Warga emas rugi RM4,050 angkara janji palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Kerana terlalu teruja untuk menerima hadiah dari luar negara, seorang warga emas berusia 60 tahun akhirnya mengalami kerugian RM4,050 selepas diperdaya rakan Facebook (FB) yang baru seminggu dikenalinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang bekerja sebagai buruh dan tinggal di Kampung Kuala Penor di sini berkenalan dengan suspek di FB menggunakan nama Roslaiha pada 5 Oktober lalu.

“Mangsa telah berkongsi nombor telefon dengan suspek sebelum mereka berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan perkenalan tersebut berlanjutan selama seminggu.

“Suspek telah menyatakan hasratnya untuk menghantar bungkusan berupa hadiah dari London dan meminta butiran diri mangsa bagi melengkapkan penghantaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, pada 11 Oktober lalu, mangsa menerima mesej daripada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai Badarudin Bidin yang kononnya wakil syarikat penghantaran barang London Limited.

Katanya, suspek kemudiannya memberitahu barang mangsa sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun mangsa perlu membayar wang proses dan caj.

“Susulan itu mangsa segera membuat pemindahan wang bagi mendapatkan barangan yang dijanjikan dan melakukan enam transaksi bermula 12 Oktober hingga 1 November lalu ke atas penama akaun Jude Uche berjumlah RM4,050.

“Selepas mangsa membuat pemindahan wang, suspek gagal dihubungi sekali gus tidak menerima sebarang penghantaran seperti yang dijanjikan,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI