KUANTAN – Seorang pesara wanita terkejut apabila mendapati wang simpanannya di bank berjumlah RM184,400 hilang ketika dia membuat semakan akaun banknya semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 58 tahun dari Balok Baru, di sini menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil pihak insurans pada 20 September lalu.
“Individu berkenaan menyatakan ada pihak yang membuat tuntutan insurans menggunakan nama mangsa namun wanita terbabit menafikan perkara itu.
“Mangsa diminta untuk membuat laporan polis sebelum dia dihubungkan dengan individu lain yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek meminta mangsa menukar kad mesin pengeluaran automatik (ATM) serta mengemas kini nombor telefon dengan memasukkan nombor akaun yang diberikan suspek kononnya untuk tujuan siasatan.
Katanya, mangsa kemudian membuat semakan akaun bank miliknya mendapati wang simpanannya telah berkurang sebanyak RM184,400 dan semakan lanjut mendapati terdapat 25 transaksi ke akaun lain bermula 28 September hingga 29 Oktober lalu.
“Mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. -K! ONLINE