SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) belum bercadang melaksanakan akuan bersumpah (SD) kepada mana-mana calon mereka yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mengelakkan insiden lompat parti.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya yakin dengan semua calon tersebut yang telah diputuskan parti masing-masing.
“Setakat hari ini, kita tiada rancangan mengenakan SD dan sebagainya dan masih yakin calon kita ini cukup setia selepas diputuskan oleh parti masing-masing.
“Jadi, saya yakin kepimpinan parti masing-masing tahu siapa mereka (calon) dan memastikan kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi selepas selesai PRN ini. InsyaAllah,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon PN bagi PRN Melaka.
Beliau turut memberitahu, tindakan UMNO untuk bertanding dalam PRN Melaka menerusi tiket Barisan Nasional adalah keputusan yang telah dibuat parti itu.
Jelas Muhyiddin, semua maklum ada beberapa usaha dibuat sebaik mungkin bagi mengelakkan pertembungan berkenaan.
“Bagi kita sebagai PN dalam apa jua keadaan akan meneruskan rancangan memasuki pilihan raya di Melaka.
“Selain itu, tiada calon Ketua Menteri (dari PN) akan dimaklumkan ketika ini dan menumpukan kepada PRN terlebih dahulu ,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada keputusan PN bertanding itu akan menjejaskan pentadbiran kerajaan Persekutuan, beliau menegaskan tidak akan memberikan impak kerana kerajaan sedia ada dibentuk menerusi kerjasama dan persefahaman pelbagai parti.
“Saya berharap tiada isu yang timbul dan percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menguruskan dengan baik dan mengambil kira parti-parti yang ada,” jelasnya. -K!ONLINE