LANGKAWI – Pemilik restoran terapung tular kerana menjual hidangan siakap bernilai lebih RM1,000 menyatakan ikan tersebut adalah yang terbesar pernah dijualnya sepanjang lapan tahun perniagaannya Taman Geoforest Karst Kilim di sini.
Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa berkata, selain ikan siakap seberat 7.48 kilogram (kg) itu, dia pernah beberapa kali menjual ikan siakap yang digunakan bagi pertunjukan di situ dengan berat lebih 4 kg ke atas.
Katanya, sebelum ini dia juga pernah menjual ikan siakap dengan berat kira-kira 7 kg kepada pelanggan yang memintanya.
“Selain ikan siakap, ada juga ikan jenahak bersaiz besar yang dijadikan pertunjukan di situ namun pelanggan tidak pernah memesan ikan tersebut.
“Ikan siakap tersebut biasanya memang saya tidak jual kepada pelanggan, kerana saiznya terlalu besar.
“Tetapi kalau ada permintaan, saya tidak akan hampakan permintaan mereka kerana memang ada pelanggan yang benar-benar mahukan ikan tersebut,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, biasanya dia akan memastikan pelanggan benar-benar pasti untuk makan ikan siakap tersebut serta akan mencadangkan ikan lain yang memang dijual untuk hidangan di situ seperti ikan siakap merah dan ikan kerapu.
“Ikan siakap yang bersaiz besar itu biasanya hanya dibeli oleh warga tempatan,” katanya
Tambahnya, pelancong asing yang pernah berkunjung ke restorannya sebelum ini biasanya akan memesan ikan yang memang dijual untuk hidangan sahaja.
Dalam pada itu katanya, perniagaannya berjalan seperti biasa walaupun telah ditularkan menjual ikan siakap harga kayangan. -K! ONLINE