MELAKA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mewartakan kawasan larangan menerbangkan dron di Melaka sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN), Isnin ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, usaha itu dilakukan selepas mengambil kira robot terbang berkenaan yang boleh menjadi ancaman dan provokasi sepanjang PRN.
Jelasnya, selain risikan atau pencerobohan privasi, antara bentuk ancaman lain yang dikhuatiri adalah ia digunakan sebagai senjata termasuk membawa cecair berbahaya atau insiden terhempas.
“Kita telahpun berbincang dan akan mengemukakan permohonan mahkamah pada Isnin ini untuk mewartakan kawasan larangan menerbangkan dron di Melaka sepanjang PRN berlangsung.
“Kita lihat dron ini boleh mampu menjadi ancaman dan provokasi kerana ia boleh dijadikan senjata, tidak kiralah bawa gas atau cecair berbahaya atau sengaja dihempaskan terhadap kumpulan tertentu disebabkan rasa ketidakpuasan hati,” katanya selepas melakukan lawatan kerja Op PRN Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bukit Beruang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hazani berkata, sekiranya ada pihak yang ingin menerbangkan dron, mereka mestilah mendapatkan permit daripada pasukan keselamatan dan CAAM. -K! ONLINE