IPOH – Polis menafikan dakwaan seorang wanita yang tular dalam aplikasi Tiktok berkaitan tiada tindakan diambil terhadap aduannya yang berdepan ancaman keselamatan.
Berdasarkan video berdurasi satu minit 44 saat yang dimuat naik itu, wanita terbabit mendakwa telah dua kali menghubungi balai polis untuk memohon bantuan kerana bimbang keselamatannya dan anak.
Menerusi video tersebut, wanita itu juga mendakwa telefon bimbitnya telah digodam yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suaminya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan mendapati wanita itu pernah menghubungi Balai Polis Kampung Rapat pada pukul 7.15 pagi semalam dan mendakwa terdapat kenderaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya.
“Pegawai polis yang tiba di lokasi kejadian telah membuat pemantauan dan pemeriksaan, namun tidak menjumpai kenderaan mahupun individu yang mencurigakan.
“Hasil semakan mendapati, wanita itu pernah membuat enam laporan polis mengenai masalah rumah tangga dan satu laporan berkaitan peranti komunikasi digodam. Kesemua laporan polis itu dibuat pada tahun ini dan kita telah mengambil tindakan sewajarnya ke atas laporan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, bagi memastikan keselamatan wanita itu, seorang pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ipoh telah dihantar ke rumahnya.
Bagaimana pun katanya, wanita itu enggan memberi kerjasama kepada pihak polis.-K! ONLINE