PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 2,058 kesalahan membabitkan penunggang perkhidmatan p-hailing di seluruh negara menerusi menerusi Ops Merah yang dilaksanakan bermula 8 Oktober lalu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Datuk Lokman Jaman berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan terhadap 11,762 motosikal bermula 8 Oktober hingga Jumaat lalu.
Beliau berkata, pelbagai kesalahan dilakukan termasuk tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan menggunakan telefon bimbit ketika menunggang.
“Kesalahan lain termasuk melawan arus, tidak memakai topi keledar, mengubah suai kenderaan termasuk nombor pendaftaran dan kesalahan-kesalahan lain.
“Operasi khas ini bertujuan memantau tahap pematuhan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) dan mengadakan program advokasi dengan memberi fokus utama kepada kenderaan motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.- K! ONLINE