MELAKA – Polis negeri ini akan melaksanakan semula 17 sekatan jalan raya (SJR) bermula esok bagi memastikan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November depan berjalan lancar tanpa kemasukan kumpulan tidak berkenaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, pemeriksaan di SJR itu meliputi semakan sijil suntikan vaksin dan tujuan kemasukan ke negeri ini.
“Esok kita akan laksanakan SJR di 17 pintu masuk negeri ini untuk memastikan tiada pergerakan orang yang tidak berkenaan masuk ke Melaka.
“Sebagai contoh mereka yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 atau lengkap dua dos serta kesahihan yang masuk atas alasan mengundi, takut ada makhluk asing yang datang mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja Op PRN Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bukit Beruang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata SJR itu akan dibuka di laluan utama dan lorong-lorong tikus yang dikenal pasti.
“Kalau lengkap syarat melakukan rentas negeri dan datang ke negeri ini untuk melancong, tidak ada masalah.
“SJR ini akan dibuka sehingga selesai PRN,” katanya. -K! ONLINE