TANJUNG MALIM – Majlis Anak Johor (M@JOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul tiga anugerah pada majlis Anugerah Ikon Siswa Johor (AISJ) 2021 yang diadakan di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.
M@JOR mengungguli Anugerah Ikon Siswa Johor (Kepimpinan), Anugerah Ikon Siswa Johor (Kebudayaan) serta Anugerah Persatuan Anak Johor Terbaik.
Anugerah Ikon Siswa Johor (Kepimpinan) disandang Muhammad Nur Naim Abdul Rehman manakala Anugerah Ikon Siswa Johor (Kebudayaan) milik Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi.
Kesemua anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad yang hadir merasmikan majlis tersebut.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kejayaan itu sangat membanggakan pada ketika UPSI menyambut ulang tahunnya yang ke-100 tahun ini.
Menurut beliau, penganugerahan tersebut mencerminkan keupayaan universiti melahirkan graduan berfikiran kritis, inovatif, pintar, dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.
“Ini selaras dengan tuntutan kurikulum akademik bagi mempersiapkan graduan yang berjaya mendapatkan tempat dalam tenaga kerja global yang semakin kompetitif,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini.-K! ONLINE