ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan siasatan dalam insiden sekumpulan pelancong yang terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap di sebuah restoran dekat Langkawi, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Langkawi, Abdul Rafar Wahid memberitahu, siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.
“Kita akan menyiasat perkara tersebut dengan adil dan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak.
“Pelanggan juga perlu menyemak menu yang disediakan dan memastikan harga sebelum membuat pesanan bagi mengelakkan perkara ini berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian yang menimpa sekumpulan pelancong ke Pulau Langkawi terkejut apabila terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap seberat sekitar 7 kilogram (kg) di salah sebuah restoran di Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Berita berkaitan: Siakap RM1,196 cuma makan ikan kecil bukan dedak
Menerusi perkongsian Mohd. Faris Zulkarnain di Facebook miliknya, mereka terdiri daripada tujuh individu juga terpaksa membayar bil keseluruhan sebanyak RM1,852.50 termasuk menu lain.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusof berkata, pihaknya sebelum ini pernah menerima beberapa aduan berkaitan caj harga makanan yang tinggi di pulau peranginan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, ia melibatkan restoran lain.
Berita berkaitan: Terkejut bayar harga siakap Langkawi RM1,196 seekor
“Kita meminta pihak kementerian membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada yang tertindas dalam isu berkenaan.
“Pemilik restoran sewajarnya meletakkan tanda harga atau memaklumkan mengenai harga sebenar makanan agar pelanggan dapat membuat pilihan sama ada mahu menjamu selera atau sebaliknya,” jelas beliau.
Berita berkaitan: ‘Pelanggan mahu siakap itu, tidak mahu ikan lain’
Tambahnya, isu peniaga memanipulasi harga semakin serius di pulau berkenaan berikutan mereka baru sahaja menerima pelancong luar sebaik kerajaan membuka semula sektor ekonomi. -K! ONLINE