PENGENDALI Sri Pahang, Dollah Salleh mengakui kombinasi dua tonggak serangan, Malik Mat Ariff bersama import, Kenny Athiu menjadi faktor pasukannya kembali ‘bernafas’ pada kempen Piala Malaysia kali ini.
Gandingan cemerlang Malik dan Athiu masing-masing merekodkan tiga gol pada dua aksi peringkat kumpulan menentang Penang FC baru-baru ini.
Susulan itu, Dollah mahu kedua-dua pemain itu meneruskan momentum apabila dijadualkan bertemu Sarawak United di Stadium Darul Makmur malam ini.
“Sebelum ini, mungkin kombinasi mereka berdua tidak menjadi kerana Malik diletakkan di bahagian sayap, namun selepas mereka diletakkan di posisi penyerang, kedua-duanya cukup serasi.
“Justeru, saya arahkan barisan pemain tengah untuk lebih peka dalam membuat hantaran kerana Malik memiliki kepantasan, manakala Kenny mampu mengawal bola serta melakukan penyudah dengan baik.
“Apa yang pasti, saya tidak terkejut dengan peningkatan prestasi mereka dan saya harap momentum tersebut dapat diteruskan dalam membantu pasukan meloloskan diri ke peringkat suku akhir,” katanya.
Mengulas lanjut, Dollah percaya barisan pemain perlu waspada dengan ancaman yang boleh diberikan oleh skuad Kenyalang Emas kendalian E. Elavarasan kerana rentak konsisten yang ada pada mereka musim ini.
“Saya percaya aksi menentang Sarawak United nanti terbuka buat kedua-dua pasukan kerana kami tahu kelemahan dan kekuatan mereka, begitu juga pasukan lawan yang tahu dengan kualiti yang ada pada kami,” ujarnya.