SEPANG – Kerajaan negeri disarankan tidak mengawal kekerapan penerbangan ke negeri-negeri berikutan situasi pandemik Covid-19 dilihat bertambah baik sekali gus usaha merancakkan lagi ekonomi dan industri tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kawalan kekerapan penerbangan dilihat akan menyebabkan kenaikan harga tiket yang akan menjadi beban kepada pengguna.
“Sekiranya kawalan kekerapan penerbangan dibuat, harga tiket akan naik dan pengguna akan fikir banyak kali (untuk membeli tiket).
“Jadi biarlah serahkan berkenaan kekerapan penerbangan ini kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan syarikat penerbangan, itu lebih baik,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Sistem Elektronik Pelesenan AeroLicence dan Panduan Nasihat Perjalanan FlySmart di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, perbincangan sudah dibuat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan keputusan telah dibuat iaitu selepas 1 November, kekerapan penerbangan ditambah ke negeri tersebut.
“Harga tiket penerbangan kini beransur turun tetapi belum sampai tahap yang diidamkan. Tak mungkin ia akan turun pada paras harga sebelum pandemik Covid-19 kerana semua syarikat juga nak untung,” katanya. – K! ONLINE