KOTA BHARU – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membenam Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) 3-1 pada aksi Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.
KDA FC berada di depan apabila pemain tengah, Mohd. Syazwan Zainon melakukan rembatan kencang dari dalam kotak penalti pada minit ke-34 untuk menewaskan penjaga gol KUFC, Mohamad Fikri.
Dua minit berselang, kapten KDA FC, Baddrol Bakhtiar mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua dan keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Pada babak kedua, pemain KUFC, Fakrul Zaman Wan Abdullah berjaya merapatkan kedudukan apabila meledak jaringan pertama pasukannya pada minit ke-73 menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti.
Pemain gantian KDA FC, Muhammad Fayadh Mohd. Zulkifli Amin membunuh sisa-sisa perjuangan KUFC apabila meledak jaringan ketiga pada minit ke-85 selepas tenang menyudahkan hantaran lintang Azamuddin Akil. Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat perlawanan.-K! ONLINE