fbpx

Ivermectin masih dijual secara online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI farmasi, Huan Yue (kanan) sedang membantu pelanggan dalam mendapatkan nasihat dan pilihan ubat yang sesuai.

PETALING JAYA – Penjual di platform e-Dagang didapati masih menjual ubat Ivermectin dengan menggunakan nama lain walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengesyorkan penggunaannya untuk merawat pesakit Covid-19.

Dalam tinjauan yang dilakukan Kosmo! semalam mendapati, beberapa platform e-Dagang masih mempromosikan dan menjual ubatan terbabit dengan lingkungan harga RM49 sehingga RM75 bagi setiap papan.

Selain itu, ada peniaga yang sengaja menukarkan nama sebenar ubat Ivermectin kepada satu singkatan lain agar dapat mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, dalam tinjauan di beberapa farmasi di Lembah Klang mendapati, pihak tersebut tidak menjual ubatan itu berikutan tidak mendapat kelulusan daripada KKM.

Menurut ahli farmasi, Huan Yue, premisnya tidak dibenarkan untuk menjual Ivermectin kerana ubat tersebut masih di dalam proses kajian selain tidak mempunyai kelulusan KKM.

“Kami tak menjual ubat tersebut kerana belum mendapatkan kelulusan KKM dan dila­rang untuk dipasarkan.

“Ada juga pelanggan yang mencari dan ingin membeli ubat itu untuk diri sendiri dan untuk golongan warga emas bila datang ke farmasi bagi tujuan merawat penyakit Covid-19,” jelasnya.

Tambah Huan Yue, apabila ada pelanggan yang ingin membeli ubat Ivermectin dan bertanyakan sama ada dijual di farmasi atau tidak, dia akan ­memaklumkan bahawa ubat tersebut belum mendapat kelulusan dan mencadangkan agar pelanggan tersebut mengamalkan cara penjagaan yang lebih selamat.

“Ubat itu pun belum pasti baik dan berkesan, mungkin beri kesan yang buruk dan boleh menjejaskan kesihatan nanti,” katanya.

Pada Rabu lalu, Ketua Pe­ngarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menyarankan ubat Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.

Dr. Noor Hisham dipetik berkata, penggunaan Ivermectin tidak di­syorkan untuk dimasukkan dalam garis panduan rawatan pesakit Covid-19 sedia ada kerana tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

Katanya, keputusan I-TECH juga selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-COVID19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brazil yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI