fbpx

Isu ketat jualan arak pelihara kesejahteraan awam- MAPIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azmi.

SHAH ALAM – Isu memperketatkan jualan arak tidak melanggar hak orang bukan Islam namun lebih kepada memelihara kesejahteraan masyarakat awam di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyokong dan mahu peraturan baharu jualan arak di kedai runcit di Kuala Lumpur terus dikekalkan.

Katanya, gejala meminum arak jelas mengakibatkan kesan buruk sama ada kesihatan, sosio-budaya, ekonomi dan keselamatan awam yang jauh lebih besar daripada soal hak bukan Islam.

“Akses generasi muda kepada arak kini amat mudah dan apa keperluan kedai runcit untuk menjualnya.

“Keputusan DBKL melarang arak dijual di kedai runcit adalah wajar dan selaras konsep memelihara kesejahteraan keluarga terutama kanak-kanak atau remaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan semua kedai runcit, pasar raya, pasar raya besar dan kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hanya dibenarkan menjual minuman keras bermula pukul 7 pagi sehingga 9 malam bermula 1 November lalu.

Namun, tujuh Ahli Parlimen memohon DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mempertimbangkan penarikan semula perintah larangan baharu berkenaan.

Jelas Mohd. Azmi yang juga Pengerusi Kempen Selamatkan Keluarga Malaysia Dari Arak dan Judi, bantahan Ahli Parlimen itu atas alasan hak orang bukan Islam untuk meminum arak disifatkan sebagai dangkal.

“Desakan mereka perlu dihujah dengan tegas bahawa polisi kesihatan dan kesejahteraan awam mesti diutamakan,” ujarnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI