LONDON – Harapan kelab terkaya Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United untuk mendapatkan pengurus baharu bakal menjadi kenyataan selepas pengendali muda, Eddie Howe secara dasarnya bersetuju dengan kontrak yang ditawarkan oleh pihak pengurusan kelmarin.
Sebagai rekod, Newcastle telah menawarkan posisi pengurus kepada pengendali kelahiran Sepanyol, Unai Emery pada awal minggu ini tetapi tawaran tersebut ditolak kerana bekas pengurus Arsenal itu mahu memberi tumpuan penuh bersama kelab Villareal.
Susulan itu, Howe menjadi pilihan alternatif buat pengurusan tertinggi The Magpies yang sememangnya terdesak mendapat sentuhan pengendali baharu selepas membuat keputusan untuk memecat Steve Bruce bulan lalu.
Howe yang kini berusia 44 tahun sudah menjadi ‘penganggur’ lebih setahun selepas meletakkan jawatan sebagai pengurus kelab Bournemouth pada penghujung musim 2019/2020 selepas kelab itu tersingkir ke Liga Kejuaraan.
Selepas mendapat persetujuan, pihak pengurusan sedang berusaha memberi tawaran kepada barisan staf kejurulatihan Howe yang kini memasuki fasa akhir dan dijangka bakal diumumkan secara rasmi selepas aksi menentang Brighton esok.
Sebelum ini khidmat Howe pernah diburu oleh Celtic pada pertengahan tahun tetapi gagal mencapai kata sepakat sebelum pasukan itu melantik khidmat pengendali dari Australia, Ange Postecoglou.
Selain Emery, kelab yang dimiliki oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi itu turut dikaitkan ‘memancing’ beberapa nama besar seperti bekas pengendali AS Roma, Paulo Fonseca, Lucian Favre (bekas pengendali Borussia Dortmund) dan Antonio Conte (kini pengurus Tottenham Hotspur). – AGENSI