KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) percaya skuad remaja kebangsaan bakal berdepan laluan sukar pada Piala Dunia Remaja Lelaki di Bhubaneswar, India bermula 24 November hingga 5 Disember depan.
Semalam, badan induk sukan hoki Malaysia itu mengumumkan senarai akhir 20 pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada kejohanan empat tahun sekali itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Razak enggan meletakkan sasaran spesifik, sebaliknya mahu pasukan negara fokus terhadap satu demi satu perlawanan terlebih dahulu.
“Saya sudah berbincang dengan barisan kejurulatihan berhubung perkara ini (sasaran), tetapi kami tidak mahu letak terlalu jauh kerana kejohanan ini boleh diibarat seperti naik tangga.
“Oleh itu, sasaran kita adalah untuk layak ke pusingan berikutnya terlebih dahulu memandangkan ini adalah kejohanan Piala Dunia. Selain itu, ada pasukan yang sudah lama melakukan latihan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam saingan Kumpulan A bersama Afrika Selatan, Chile serta pasukan yang berada di ranking No.1 dunia, Belgium.
Dalam pada itu, Najmi juga percaya pihak penganjur sudah melakukan persediaan sepenuhnya bagi memberi jaminan terhadap keselamatan setiap pemain memandangkan kes Covid-19 yang agak tinggi di negara itu.
“Penganjur sudah buat persiapan rapi bukan sahaja dari segi kejohanan, malah prosedur operasi standard (SOP) juga dititikberatkan. Kita juga sentiasa pesan kepada pemain untuk jaga diri masing-masing,” ujarnya.