fbpx

Ed Sheeran sekarang bukan Ed yang dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI album = atau disebut equals, Ed Sheeran dilihat mempamerkan satu evolusi yang cukup matang.

ED SHEERAN kian menginjak usia dewasa. Dia sekarang bukan sahaja bergelar suami bahkan, seorang bapa kepada anak perempuan yang comel.

Berdasarkan lirik lagu trek pertama, Tides dalam album terbaharu yang diberi nama = (disebut equals), sekali gus menjadi diskografi kelimanya, Ed ‘berteriak’ seumpama rockers, memberitahu dunia tentang perkara tersebut.

Ed tidak melaungkan ungkapan kosong kerana sememangnya benar, kehidupan ini sebuah perjalanan dan semua orang berubah mencari makna baharu dalam hidup, sebagaimana tertulis dalam lirik: ‘I have grown up, I am a father now. Everything has changed but I am still the same somehow.’

Nukilan lirik yang diselitkan dalam lagu Tides ciptaan Ed, Foy Vance dan Johnny McDaid tersebut barangkali kedengaran klise, namun tersembunyi 1,000 kebenaran sehingga mampu memukul setiap jiwa pendengar.

ED SHEERAN kini muncul dengan album kelima yang diberi judul =.

Lebuh raya, perjalanan

Dengan segala perubahan bersifat peribadi yang berlaku dalam diri Ed, penulis percaya perihal tersebut dicernakan melalui kerja muziknya.

Lihat sahaja kemunculan Ed dengan jalur muzik berkisarkan cinta, kehidupan, kebapaan dan nikmat penerokaan muzik sintetik pop muzik.

Empat tahun selepas meluncurkan ‘blockbuster’ muziknya berjudul ÷, dia kini berkahwin dengan kekasih yang dikenali sedari zaman kanak-kanak, Cherry Seaborn dan dikurniakan seorang anak perempuan, Lyra Antarctica Seaborn Sheeran.

Sejujurnya, album baharu nukilan Ed mudah menyingkap sebuah realiti kepada penulis bahawa kehidupan ibaratnya seperti lebuh raya – sebuah perjalanan ke satu destinasi yang ingin dituju dan kita semua sedang berjalan atau berada di atas laluan tersebut.

Mengulas lanjut tentang = yang memuatkan 14 buah trek, jika khalayak mengharapkan Ed sebagaimana dikenali pada awal pembabitannya yang terkenal dengan nuansa muzik akustik, album kali ini sebenarnya mungkin sedikit mengecewakan.

Bagaimanapun, jika kalian tergolong dalam kalangan peminat yang terbuka dan berlapang dada dengan evolusi atau perubahan seorang bintang bernama Ed Sheeran dari segi kematangan muzik, album berkenaan mungkin menepati cita rasa.

Ada banyak perkara baharu yang diterokai Ed dari segi aspek genre muzik. Dia menyuntik elemen pop, synth pop dan pop rock yang barangkali jarang-jarang dilakukan dalam kerja muzik terdahulu.

Barangkali, ramai dalam kalangan pendengar sudah diberi pengenalan kepada Bad Habits (single perdana), Shivers (kedua) dan terbaharu, Overpass Graffiti yang diluncur sebagai single ketiga.

Overpass Graffiti ‘melekat’

Kini, Overpass Graffiti menjadi lagu siulan ramai termasuk penulis. Biarpun komposisi muziknya tidak semewah karya-karya mahal terdahulu, namun ada sifat dalam persimpangan lagu berkenaan yang bersifat candu buat setiap pendengar. Dengar sekali, akan terus dengar dan melekat dalam halwa telinga.

Album = dimonopoli banyak lagu rancak, namun Ed tidak melupakan ‘akar’ muziknya menerusi penghasilan karya berentak ‘mellow’ seperti The Joker And The Queen, Leave Your Life dan Visiting Hours.

Secara peribadi, penulis tidak melihat diskografi kali ini sebagai satu percubaan gagal atau ‘buntu’ Ed, namun sebuah ruang buat pemuzik Britain itu bereskperimentasi dengan seni muzik.

Dia tidak akan selamanya melahirkan karya-karya seperti Perfect, Thinking Out Loud dan The A Team.

Ed berevolusi selari dengan peredaran dan kehendak muzik semasa. Justeru, apabila Bad Habits diluncurkan sebagai single pertama dan penulis antara peminat yang tersenyum dengan langkah berani Ed.

Ada sebuah lagu berjudul Sandman ciptaan khas oleh Ed buat puterinya. Lagu bernuansa rentak ‘kanak-kanak’ namun dikomersialkan dengan cemerlang Ed.

Dia genius! Lekas sembuh daripada Covid-19 Ed dan terima kasih untuk =.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI