LONDON – Pengurus baharu Tottenham Hotspur, Antonio Conte memulakan aksi pertama dengan kemenangan selepas mereka menewaskan Vitesse Arnhem 3-2 dalam saingan Liga Konferensi Europa di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Tiga gol menerusi Son Heung-min, Lucas Moura serta jaringan sendiri Jacob Rasmussen membolehkan Conte memulakan era baharu Spurs dengan langkah kanan selepas menyertai pasukan itu minggu lalu.
Meskipun menyaksikan pasukan lawan bangkit dengan dua gol menerusi Rasmussen dan Matus Bero, namun Conte mengakui lega selain menyifatkan perlawanan itu sebagai aksi ‘gila’.
“Satu perlawanan yang cukup gila. Kebiasaannya saya tidak suka perlawanan seperti ini kerana ia sukar untuk dijangka. Bagaimanapun, saya fikir kami memang layak untuk menang.
“Kami melepaskan dua gol ketika sedang mendahului 3-0 dan ia sepatutnya boleh dielakkan. Apa yang pasti, kemenangan ini mampu menjadi suntikan semangat buat semua pemain,” kata pengendali dari Itali itu.
Selepas ini, Spurs akan mengalihkan fokus terhadap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton di Goodison Park malam esok dan Conte mengakui bimbang kerana kesuntukan masa untuk membuat persediaan.
“Sudah tentu masih banyak yang perlu diperbaiki walaupun ada perkara positif, namun mustahil untuk berlatih seperti biasa kerana diberikan masa rehat sehari sebelum bertemu Everton,” ujarnya.-AGENSI