PETALING JAYA – “Terlihat seorang budak lelaki menjual ‘Facemask’ (pelitup muka), bila saya bertanya berapa harga, jawabnya seikhlas hati abang”.
Itulah perkongsian Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin di laman sosial Instagramnya semalam, mengenai seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang terpaksa berhenti sekolah sejak darjah tiga demi membantu keluarga.
Menurut beliau selepas menjamu selera di sebuah restoran berhadapan pejabatnya dia terlihat seorang budak lelaki menjual pelitup muka lalu mengajukan beberapa pertanyaan mengenai kanak-kanak tersebut.
“Selepas makan di restoran berhadapan pejabat saya, terlihat seorang budak lelaki menjual ‘facemask’ (pelitup muka), bila saya tanya berapa harga, jawabnya seikhlas hati abang.
“Saya bertanya lagi, adik tak sekolah? jawabnya mudah, tidak sebab ayah sakit tak boleh bangun, saya dan kakak kerja untuk menyara keluarga, adik ini berumur 12 tahun dan berhenti sekolah sejak darjah tiga,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram semalam.
Tambahnya lagi, sejurus mendegar jawapan dari budak lelaki itu beliau kemudiannya mengambil keputusan mengajak kanak-kanak itu bawa ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat dia berniaga.
“Saya ajak adik ini untuk bawa ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat dia berniaga, saya mahu melihat sendiri kesusahan yang mereka hadapi, ayahnya terlantar di atas tilam nipis bilik kecil yang didiami oleh enam orang dengan harga sewa yang agak mahal,” katanya. -K! ONLINE