KOTA BHARU – Kementerian Pertahanan menyasarkan seramai 200 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendaftar menerusi aplikasi dalam talian, MyVeteran Mall (Vmall) untuk memperluaskan jaringan perniagaan mereka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pengenalan platform digital itu merupakan inisiatif dan kerjasama dengan sebuah syarikat, MIDC Technology Sdn. Bhd.
“Aplikasi itu berperanan untuk mempromosikan produk veteran ATM termasuk di peringkat global. Usaha itu dapat melahirkan usahawan veteran kreatif dan inovatif untuk bersaing dengan usahawan lain.
“Ada dalam kalangan veteran ATM mempunyai produk mereka sendiri. Jadi, aplikasi Vmall mampu menjana ekonomi mereka,”katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Peringkat Negeri Kelantan kepada seramai 500 anggota veteran ATM di Hotel The Grand Renai, di sini hari ini.-K! ONLINE