LONDON – Seorang lelaki menganggur kalah dalam perbicaraan kes tuntutan saman ‘saraan seumur hidup’ terhadap ibu bapanya yang kaya raya, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Faiz Siddiqui, 41, memfailkan saman tersebut setelah merasakan hak asasinya dicabuli walaupun ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapanya yang sudah tua.
Kehidupan lelaki itu ditanggung oleh orang tuanya dan dia tinggal di sebuah flat milik ibu bapanya yang berharga £1 juta (RM 5.6 juta) dekat Hyde Park tanpa membayar sewa kepada mereka.
Bagaimanapun, ibu bapa lelaki itu yang tinggal di Dubai mula menghentikan bantuan sara hidup kerana tidak tahan dengan perangai anak mereka. Susulan itu, Faiz mengemukakan saman untuk ‘menuntut haknya’ di sebuah mahkamah di Britain.
Mahkamah Rayuan bagaimanapun menolak tuntutan Faiz dengan hujah bahawa ibu bapa tiada kewajipan menanggung anak mereka yang sudah dewasa.
Sebelum ini, Faiz diberikan £400 (RM 2245.31) pada setiap minggu sebagai wang perbelanjaan. Ibu bapanya juga membayar bil dan perbelanjaan lain.
Peguam yang mewakil defendan menyatakan bahawa ibubapa Faiz sudah lama bersabar dengan kerenahnya.
Lelaki tersebut juga kalah dalam kes saman terhadap Universiti Oxford sebanyak £1,000,000 (RM 5.6 juta) pada tahun 2018 kerana dia gagal mendapat ijazah kelas pertama.
Faiz yang dilatih sebagai peguam, mendapat latihan di sebuah firma guaman terkemuka dan bekerja di Ernst & Young sebagai penasihat cukai.
Dia yang juga seorang peguamcara bertauliah bagaimanapun menganggur sejak 2011. – Agensi