PUTRAJAYA – Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi mencari dan mengenal pasti insiden melibatkan atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mendapati dia dan jurulatihnya, Mohd. Faizol Harun tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu yang ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dibuat hasil sesi temubual serta dokumen-dokumen berkaitan yang diperolehi.
Menurutnya, atlet dan jurulatih berkenaan tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu yang ditetapkan untuk pendaftaran di CallRoom 1 walaupun pada mereka beranggapan sampai sebelum tamat waktu pendaftaran.
“Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat World Para Athletic (WPA), pihak Persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal Para Olahraga khususnya mengenai peraturan Did Not Start (DNS).
“Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet dari Australia dan Ecuador telah melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Jawatankuasa Siasatan Dalaman tersebut dilantik pada 15 September lalu bagi mencari dan mengenal pasti insiden yang berlaku terhadap Ziyad pada acara Lontar Peluru F20 di Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Jawatankuasa itu juga bertanggungjawab mengemukakan laporan dan cadangan penambahbaikan kepada Kementerian Belia dan Sukan.
Tambah Ahmad Faizal, pihaknya memandang serius isu tersebut dan semua pihak harus lebih bertanggungjawab pada masa akan datang. – K! ONLINE