PETALING JAYA – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyambut baik Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz khususnya dalam memberi penekanan kepada agenda pemerkasaan Bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd. Muzzammil Ismail berkata, Bajet 2022 secara keseluruhannya adalah manifestasi jelas terhadap komitmen kerajaan dalam memacu pemulihan Malaysia untuk kembali menjadi sebuah negara membangun yang disokong oleh sosio-ekonomi yang mampan dan sihat.
“Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, matlamat utama kami adalah meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis.
“Kumpulan sasaran kami sebahagian besarnya adalah penerima manfaat daripada golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang mempunyai latar belakang mencabar.
“Saya yakin suntikan dana ini akan merangsang Yayasan Peneraju untuk meluaskan akses kepada kumpulan sasar serta memperkenalkan program-program baharu yang memenuhi keperluan ekonomi semasa dan pasaran pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bajet 2022 terus memberi penekanan kepada agenda pemerkasaan Bumiputera di bawah Strategi 2: Membangun sebuah Keluarga Malaysia serta Inisiatif 1: Pembangunan Bumiputera dan Syiar Islam.
Sejumlah RM6.6 bilion telah diperuntukkan untuk tujuan pendidikan termasuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program daripada sijil kepada diploma serta usaha melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera di bawah agensi seperti Yayasan Peneraju, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Yayasan Peneraju menyasarkan untuk membiaya lebih 10,000 bakat Bumiputera baharu dan lebih 6,500 penerima faedah sedia ada yang sedang menjalani latihan dalam bidang berimpak tinggi dan khusus seperti kewangan, perakaunan, teknologi, spesialis serta program berkemahiran tinggi. – K! ONLINE