ARAU – Hati suami mana yang tidak keruan dan berasa sedih tatkala melihat aktiviti harian untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga terpaksa diambil alih oleh isteri.
Perasaan tersebut terpaksa dipendam sehingga mengalir air mata bagi Mat Noor Ismail, 76, dari Kampung Sena, Kurung Anai di sini mengenang nasib isterinya, Siti Rohani Saari, 56 yang terpaksa bekerja sebagai pembantu di kedai makan berhampiran rumah mereka.
Dengan pendapatan sekitar RM20 sehari, Rohani terpaksa menyara seorang anak berusia 17 tahun selain berbelanja membeli ubat-ubatan untuk mengubati suaminya yang menderita penyakit darah tinggi, asma dan buasir.
Keluarga malang ini turut mendapat bantuan daripada saudara mara serta jiran-jiran terdekat.
“Sedih sangat apabila melihat isteri terpaksa bekerja dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kehidupan kami lebih teruk apabila isteri tidak dapat bekerja. Kalau saya mampu, saya sendiri akan melakukan kerja bagi mencari pendapatan,” katanya.
Mat Noor ditemui selepas menerima sumbangan daripada Program Jelajah Ikhlas anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB).
Sementara itu, seorang warga emas yang tinggal bersama anak perempuan dan tiga cucunya di sebuah rumah usang turut dibantu bagi mengurangkan beban yang ditanggung selama ini.
Manis Salleh, 71 yang menghidap penyakit diabetes dan darah tinggi itu hanya berharap pada pendapatan daripada sewaan tanah sawah seluas 0.56 hektar kerana tidak mampu turun bertani.
Sebuah rumah usang berusia 50 tahun yang dimakan anai-anai dengan atap bocor menjadi tempat berteduh bagi keluarga malang ini di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat di sini.
Jelasnya, rumah usang tersebut tidak dapat dibaiki kerana dibuat atas tanah orang lain dan dia masih lagi mengharapkan bantuan daripada pihak berkaitan untuk membina rumah baharu di tanah sendiri yang terletak di lokasi bersebelahan rumah itu.