fbpx

Melahap macam ular sawa – Cef Wan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chef Wan melalui perkongsian video di Instagram telah berkongsi keadaan meja yang ditinggalkan oleh sebuah keluarga yang tamak dan menyebabkan pembaziran.

PETALING JAYA – “Ada satu keluarga duduk di sebelah saya. Mereka ada dekat sana agak lama dan menelan (makanan) macam ular sawa”.

Itu perkongsian cef selebriti, Chef Wan atau nama sebenarnya, Datuk Redzuawan Ismail mengenai tindakan sebuah keluarga dari negara Asia Barat yang mengambil makanan dalam jumlah banyak namun akhirnya membuat pembaziran.

“Begitu tamak dan membazir sehingga membiarkan makanan tidak disentuh. Kamu semua boleh lihat ini adalah budaya yang ada di seluruh dunia malah ada yang lebih teruk daripada ini.

“Di Malaysia juga ada sikap yang suka membazir ini, tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah S.W.T. kurniakan. Manusia sebegini kita tegur pun tak jadi apa, jenis gelojoh dan tamak ini wujud di mana-mana,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram baru-baru ini.

Menurut Cef Wan, beliau kemudiannya mengambil keputusan menegur keluarga berkenaan setelah melihat anak-anaknya turut melakukan perkara sama.

“Paling teruk empat anak mereka juga membazir. Mereka (anak) belajar dari apa yang mereka lihat. Saya menegur dan bertanya kenapa ambil begitu banyak makanan yang akhirnya hanya akan dibuang ke dalam tong sampah?

“Si bapa memandang saya dan memohon maaf jika membuatkan saya tersinggung dengan perlakuannya. Saya nasihat dia supaya jangan bersikap tamak,” katanya.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial memberi pelbagai reaksi dan bersetuju dengan tindakan Cef Wan mengenai isu pembaziran makanan.

“Maaf bukan nak mengata, mereka tak reti bersyukur kalau ambil makanan macam tak makan berbulan-bulan. Lepas itu bersepah satu meja, bilik pun sama. macam lepas tsunami,” kata Fatimah Razak.

“Anda adalah legenda kami cef, terima kasih kerana bersuara tentang isu pembaziran ini,” ujar Shakira Jalal.

“Sedih tengok makanan dibazirkan sedangkan ramai di luar sana tak ada makanan untuk dimakan,” ujar Noorafzanr Yahya.

Perkongsian itu mendapat lebih 63,815 tontonan dan dihujani lebih 481 komen.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI