fbpx

Malaysia komited laksana tindakan perubahan iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Malaysia bersama 131 negara lain akan menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim sekali gus menyumbang kepada matlamat global.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata, deklarasi itu adalah selaras dengan komitmen negara untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.

Katanya, Jemaah Menteri pada 3 November 2021 telah bersetuju supaya Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai delegasi Malaysia pada sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) pada 9 dan 10 November ini.

Menurutnya, selaku ketua delagasi, Tuan Ibrahim juga akan menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi rundingan berkenaan.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya Malaysia menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global.

“Kedua-dua ikrar dan deklarasi ini telah dilancarkan di UNFCCC COP-26 yang kini sedang berlangsung di Glasgow, Scotland bermula pada 31 Oktober hingga 12 November 2021,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah adalah bertujuan memperkukuhkan komitmen negara-negara terhadap penggunaan tanah, pemuliharaan dan pengurusan hutan serta ekosistem yang lain secara mampan.

Katanya, Malaysia juga akan menyertai 103 negara lain dalam Ikrar Metana Global bagi mendapatkan komitmen dan persetujuan bersama untuk mengurangkan pelepasan metana global sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 berbanding tahapnya pada tahun 2020. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI