fbpx

Kesusahan lampau penguat semangat untuk berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Atina

PERNAH melalui zaman sukar sewaktu dibesarkan dek kerana kekurangan tidak pernah membuatkan ibu kepada dua anak ini malu untuk meneruskan hidup.

Dibesarkan secara serba sederhana berbekalkan wang hasil menjahit ibunya yang juga bergelar ibu tunggal turut menguatkan semangat Siti Nurul Atina, 32, untuk terus bertekad mengubah nasib hidup.

Menjadi anak sulung dan contoh bagi empat lagi adik beradik di bawahnya turut membulatkan tekadnya untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Usai tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pulau Pinang pada 2011, rezeki Siti atau lebih mesra disapa dengan nama Atina dipermudahkan Allah.

Bergelar sebagai kakitangan sebuah bank swasta di ibu negara sedikit sebanyak membantu Atina dalam mengurus kehidupannya di samping membalas jasa orang tuanya.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah. Tamat sahaja pengajian saya terus dapat kerja sebagai salah seorang kakitangan di sebuah bank di ibu negara.

“Pada masa itu saya sudah pun bernikah dan ada seorang anak. Lama jugalah kami berdua bekerja di bawah satu bumbung sambil membesarkan anak perempuan sulung,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Meneruskan cerita, anak jati kelahiran Tumpat, Kelantan ini memberitahu, dek kerana pendapatannya dan suami yang agak terhad, dia pada masa sama turut menjinak-jinakkan diri dengan menjalankan perniagaan produk pelangsingan badan secara kecil-kecilan sebagai dropship.

Katanya, duit hasil pendapatan menjadi dropship dan agen kepada produk orang lain pada masa itu boleh diperoleh lebih tiga ke empat kali ganda daripada gaji kerja hakikinya

“Jadi lama-kelamaan saya terfikir untuk terus fokus pada apa yang saya lakukan ketika itu. Saya dan suami duduk bersama berbincang dan tekad untuk berhenti kerja dan fokuskan kepada perniagaan.

“Jadi setelah mendapat izin suami dan mencapai kata putus, saya pun berhenti kerja dan sebelum itu mengumpul sedikit modal selama enam bulan berturut-turut sebagai persediaan.

DORONGAN suami tercinta, Nik Akhbar Asyraf Nik Mustafa membuatkan Atina kekal bersemangat untuk terus memacu perniagaan yang dibangunkan kini.

“Pada masa itu suami masih bekerja dan dalam masa sama turut membantu saya menguruskan hal-hal perniagaan seperti pembungkusan, logistik, penghantaran dan sebagainya,” katanya.

Menurut Atina, pengalaman menjual produk orang lain menjadi inspirasi buatnya untuk menghasilkan produk sendiri dan daripada modal simpanan yang ada maka lahirlah Kopi Tina Latte pada 2015.

BARISAN ejen dan kakitangan yang banyak membantu dalam membangunkan syarikat yang diasaskan Atina.

Akui Atina yang kini sedang sarat hamil tujuh bulan anak ketiga, dia bagaikan tidak percaya akan dan langsung tidak pernah terlintas akan mempunyai produk sendiri.

“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah. Mungkin Dia tahu niat utama saya berniaga. Ini semua untuk ibu yang pernah bersusah payah membesarkan kami lima beradik.

“Bukan setakat berniaga, saya juga mahu membantu seramai mana yang boleh untuk sama-sama berjaya,” katanya yang turut mempunyai dua lagi cabang perniaagaan iaitu butik pakaian muslimah khas untuk mereka yang bersaiz besar dan perusahaan tudung di bawah label Sauk Arena.

Menutup aksara kata, Atina memberitahu, jangan sesekali malu dengan apa jua nasib yang sudah tertulis kepada kita kerana hanya diri kita sendiri sahaja mampu mengubahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI