JUARA dunia sembilan kali, Valentino Rossi mendedahkan gabungan Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli mampu menjadi ancaman besar kepada pasukan-pasukan lain pada musim depan.
Rossi menegaskan Quartararo telah membuktikan kemampuannya selepas muncul juara dunia musim ini meskipun menerima tentangan hebat daripada pasukan Ducati.
“Saya percaya bahawa gabungan Quartararo dan Morbidelli pasti akan menjadi salah satu pasukan yang kuat pada masa akan datang.
“Quartararo telah membuktikan kemampuannya musim ini dengan melakar sejarah menjuarai gelaran dunia MotoGP. Tetapi, Morbidelli juga sudah membuktikan bahawa dia mampu menaiki podium dan menjuarai perlumbaan,” kata Rossi.
Bagaimanapun, Rossi mengakui Yamaha juga perlu berwaspada kerana Marc Marquez (Honda) dan Francesco Bagnaia (Ducati) akan menjadi penghalang utama kepada mereka dalam perebutan gelaran dunia 2022 nanti.
“Jika menilai situasi perlumbaan musim ini, saya menjangkakan (Pecco) Bagnaia dan Marquez akan memberi tentangan hebat untuk barisan hadapan pada musim depan.
“Tetapi, situasi mungkin berubah kerana Luca Marini dan Joan Mir juga mampu memberi saingan dalam perebutan musim depan,” tegasnya. – AGENSI