SEBERANG PERAI – Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai di Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan menipu tuntutan insurans sebanyak RM500,000 pada April 2019.
Tertuduh, Muhammad Akmal Aliff Omar, 29, dan Muhamad Rizal Ahmad, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Butterworth, Nigel Jirin.
Muhammad Akmal yang kudung tangan kiri hadir mengenakan baju kelabu dan berseluar pendek, manakala Muhamad Rizal memakai kemeja-T berwarna merah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama telah menipu syarikat The Pacific Insurance Bhd. yang mendorong syarikat itu untuk membuat bayaran tuntutan insurans sebanyak RM500,000 atas tuntutan kemalangan yang tidak wujud.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April 2019 di The Pacific Insurance Bhd., 40-01, Q Sentral, 2A, Jalan Steen Sentral 2, Kuala Lumpur.
Tertiduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 417 atau Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala Muhammad Akmal Aliff dan Muhamad Rizal tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM3,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 November depan.
Mengikut fakta kes, seorang lelaki telah membuat tuntutan insurans mengatakan seorang pemandu kereta telah melanggarnya di Kilometer 161.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada Februari 2018 sehingga menyebabkannya putus lengan kiri pada paras bahu.
Siasatan lanjut polis mendapati pemandu kereta seperti didakwa tidak memasuki dan keluar dari plaza tol berkenaan pada hari kemalangan.
Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki itu dikatakan telah terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan sehingga tangan kirinya putus. – K! ONLINE