MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji bek kirinya, Joao Cancelo yang melakukan tiga umpanan ketika membantu pasukan itu menang 4-1 ke atas Club Brugge dalam saingan Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, The Citizens menjaringkan gol menerusi Phil Foden, Riyad Mahrez, Raheem Sterling dan Gabriel Jesus sementara pasukan pelawat mendapat gol saguhati hasil jaringan sendiri John Stones.
Kata Guardiola, beliau gembira dengan aksi yang ditampilkan Cancelo pada perlawanan tersebut biarpun pemain Portugal itu mengharungi aksi terumbang-ambing musim ini.
“Secara keseluruhan, dia (Cancelo) bermain dengan baik sepanjang musim ini walaupun masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki. Saya gembira dengan kesungguhan yang ditunjukkan.
“Prestasinya mungkin ada turun naik dalam beberapa perlawanan sebelum ini tetapi dia ada kemampuan yang luar biasa. Dia antara pemain yang mampu bawa perbezaan dalam permainan,” katanya.
Bekas pengendali Barcelona itu menegaskan, beliau kini mengalihkan fokus terhadap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United di Old Trafford malam esok.
“Setiap perlawanan sangat penting untuk saya, jadi kami akan berikan fokus sepenuhnya terhadap aksi bertemu United. Kami sudah mengharungi dua aksi terbaik, pasukan berada dalam keadaan yakin,” ujar Guardiola. – AGENSI