fbpx

Beri peluang orang muda bina negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, arena politik negara sering kali didominasi oleh golongan berusia.

Golongan tersebut dianggap lebih berpengaruh, matang selain mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai aspek terutamanya urusan pentadbiran.

Kini, persoalan mula timbul terhadap kebergantungan politik dan pentadbiran negara terhadap ‘pelakon-pelakon’ serupa sejak sekian lama.

Masyarakat mula bosan dan muak dengan wayang politik dimainkan oleh tokoh-tokoh tersebut, namun orang ramai tidak ada pilihan lain untuk memilih ketika pilihan raya.

Rasanya, sudah tiba golongan muda menyuarakan serta me­nuntut perubahan daripada kerajaan terhadap sistem demokrasi sedia ada ketika ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka, Shafe­zah Abdul Wahab berkata, keyakinan orang muda terhadap sistem demokrasi di negara ini semakin menurun.

“Menerusi luahan di media sosial, golongan berkenaan tidak mempunyai masalah dengan sistem demokrasi, namun faktor ahli politik membuatkan mereka mula bosan.

“Malah, ada antara mereka enggan mengundi pada pilihan raya akan datang kerana menganggap ia tidak memberi kesan kepada keputusan di Parlimen,” katanya ketika di temu bual Kos­mo! baru-baru ini.

Shafezah memaklumkan, sudah tiba masanya golongan muda menjadi pemain penting dalam politik, pembangunan serta ekonomi negara sambil dibantu oleh generasi lama.

Jelasnya, cara diamalkan ketika ini sudah tidak relevan, Malaysia harus bergerak ke hadapan dengan membuka seluas-luasnya peluang kepada generasi pelapis.

“Tidak kira sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, bidang ekonomi mahupun politik, ia perlu berubah dengan idea lebih segar (fresh).

“Golongan muda harus menjadi pemain penting dalam arena politik dan segenap aspek. Di negara maju, mereka sudah bersedia mempunyai Perdana Menteri atau Presiden berumur 35 tahun,” terangnya.

Beliau menambah, rata-rata orang muda masa kini sangat pintar serta berpendidikan dan apabila diberi peluang mereka mampu membawa idea baharu.

Baru-baru ini, Universiti Malaya (UM) mengumumkan pelantikan Danesh Raj Nagarajan sebagai ali lembaga pengarah (BOD) universiti berkenaan.

Pelantikan tersebut telah menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat memandangkan bekas alumni UM itu baru berusia 26 tahun dan dianggap tidak berkelayakan.

Pensyarah Fakulti Kejurutera­an UM, Prof. Dr. Nahzirul Adib Kadri menegaskan, masyarakat di negara ini perlu memberi peluang kepada orang muda terlibat dalam pentadbiran tertinggi.

“Saya berbesar hati dengan pelantikan orang muda ke dalam BOD universiti. Usaha berkenaan merupakan satu pengiktirafan kepada belia memandangkan golongan ini sangat komited.

“Masyarakat juga perlu memberi peluang kepada golongan berkenaan membuktikan kemampuan mereka terlebih dahulu,” tegasnya.

Nahzirul Adib menambah, sikap berani golongan muda sangat ditagih dalam kepimpinan tertinggi bagi membawa negara ini terus maju ke depan.

Tegasnya, golongan muda le­bih gemar melihat sesuatu isu itu daripada sudut berbeza dan berani melontarkan pendapat bernas serta kritikan membina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI