LONDON – Pengurus baharu Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengakui bahawa beliau menolak tawaran daripada kelab itu untuk menjadi pengurus pada musim panas lalu adalah kerana masa yang belum sesuai untuknya kembali menjadi jurulatih.
Spurs berjaya mendapatkan khidmat bekas pengurus Inter Milan itu beberapa hari lalu selepas memecat Nuno Espirito Santo selepas prestasi terumbang-ambing dan hanya menduduki tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris selepas 10 perlawanan.
“Saya menerima panggilan daripada Spurs pada musim panas lalu dan saya jelas memberitahu mereka bahawa saya baru selesai untuk tempoh dua musim yang memenatkan di Inter.
“Secara jujurnya, ia bukanlah masa yang sesuai untuk saya kembali berada di padang. Saya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Selain itu, emosi saya masih bersama Inter selepas melalui pengalaman yang menakjubkan.
“Spurs adalah kelab yang penting di England dan seluruh dunia. Stadium dan padang latihan yang dimiliki kelab ini sangat mengagumkan. Kelab ini dan pengerusinya, Daniel Levy benar-benar mahukan khidmat saya dan kali ini saya tidak mahu melepaskan peluang itu.
“Saya kini berada di sebuah kelab yang memiliki standard yang tinggi, ia akan membuatkan anda teruja untuk memberikan segala-galanya dan melakukan sesuatu untuk menggembirakan penyokong,” katanya.
Conte berjaya meraih sembilan gelaran sepanjang kariernya sebagai pengurus termasuk meraih tiga gelaran Serie A bersama Juventus dan satu ketika mengemudi Inter selain turut meraih kejuaraan EPL ketika membimbing Chelsea pada 2017. – AGENSI