PETALING JAYA- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pesilat negara, Zaleha Suradi.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah selain menzahirkan harapan agar keluarga tabah serta sabar.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Seri Paduka Baginda juga amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarhamah kepada negara,” katanya tadi.
Tambah kenyataan itu, Allahyarhamah pada zaman kegemilangannya pernah digelar dwi antarabangsa kerana mewakili negara dalam dua sukan iaitu bola sepak dan silat.
“Allahyarhamah pernah mengarung jersi skuad bola sepak wanita negara pada Kejohanan Wanita Asia 1986 di Hong Kong serta pernah muncul naib juara kelas E (65 kilogram) Kejuaraan Silat Dunia di Belanda pada 1990,” jelasnya. -K! ONLINE.