PETALING JAYA – Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz menzahirkan rasa sedih apabila dirinya menjadi antara punca meningkatnya kes perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri beragama Islam di negara ini.
“Ya Allah, saya baca ini (satu laporan akhbar), saya berasa sedih.
“Abang (saya) sama juga dengan suami-suami lain inginkan rumah tangga yang bahagia. Saya berharap dapatlah rujuk demi anak-anak dan amanah,” tulis Aaron atau nama sebenarnya, Mustapha Aziz itu menerusi satu hantaran status dalam Instagram.
Menerusi hantaran status sama, pelakon kelahiran Tampines, Singapura itu turut meningggalkan beberapa tanda pagar seperti #JanganKecamAbang dan #Abgtakbersalah.
Dalam pada itu, isteri kepada Aaron iaitu Diyana Halik turut berasa terkejut dengan laporan akhbar berkenaan namun tidak menafikan kebenaran realiti perkahwinan yang menjurus ke arah perceraian melibatkan pasangan suami isteri terutama yang beragama Islam di negara ini.
“Saya terpaksa baca balik beberapa kali (laporan akhbar). Sebab cuma nampak perkataan Aaron Aziz dan cerai. Jantung saya gugur. Tadi mengantuk terus segar.
“Apa pun, perkara yang dilaporkan tidak mustahil, 18 tahun lepas, ketika kami pergi kursus rumah tangga, kaunselor memberitahu satu kisah benar.
“Ada pasangan suami isteri yang sudah berkahwin sekian lama bercerai disebabkan isu berkaitan berus gigi. Ingatkan macam mengarut tapi tak sebenarnya, wahai kalian semua. Perkara kecil yang selalunya membuatkan keadaan menjadi genting,” kata Diyana menerusi InstaStory miliknya.
Terdahulu, Aaron yang cukup dikenali menerusi filem Ombak Rindu berkongsi satu keratan muka hadapan Utusan Malaysia yang melaporkan tentang punca remeh perceraian berjudul ‘PUBG, Tupperware, Aaron Aziz alasan cerai’.
Menurut laporan akhbar arus perdana tersebut, masalah rumah tangga semakin meruncing ketika pandemik Covid-19 dan ada antara pasangan mengalami tekanan kerana kekangan kewangan mengakibatkan hubungan suami isteri runtuh dalam sekelip mata. – K! ONLINE