fbpx

Tukang masak rugi RM4,300 penipuan pelaburan islamik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang lelaki berusia 40 tahun mengalami kerugian RM4,300 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan yang menggunakan nama islamik dan menjanjikan pulangan berganda dalam tempoh 24 jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di Bukit Sekilau di sini tertarik dengan pelaburan di laman facebook pada 29 Oktober lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya menekan pautan menghubungkan ke WhatsApp suspek yang menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan berganda dalam tempoh 24 jam.

“Mangsa tertarik dengan tawaran itu dan telah memasukkan wang berjumlah RM1,000 ke akaun yang diberikan suspek sebagai wang pelaburan.

“Keesokannya, mangsa dimaklumkan bahawa wang pelaburannya telah berganda menjadi RM33,000 namun dia perlu membuat pembayaran sebanyak RM3,300 bagi membuat pengeluaran wang pelaburan berkenaan,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa telah membuat dua kali pembayaran bagi tujuan itu namun pada hari sama, mangsa dimaklumkan jumlah sebenar yang perlu dibayar sebanyak RM6,000 dengan alasan duit yang akan diterima dari luar negara.

Katanya, curiga dengan perkara itu, mangsa cuba menghubungi wakil syarikat pelaburan tersebut namun gagal dan mengesyaki diperdaya sebelum membuat laporan polis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI