PETALING JAYA- Penduduk di Sarawak dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berhati-hati dengan kemungkinan banjir susulan amaran ribut petir dikeluarkan pagi ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), amaran ribut petir itu melibatkan beberapa kawasan di Sarawak dan diramalkan berlaku sehingga pukul 10 pagi nanti.
“Antara kawasan terlibat termasuklah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu dan Miri,” katanya tadi.
Isnin lalu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) melaporkan beberapa laluan trafik di ibu kota sesak berikutan kejadian banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 5 petang.
Antara kawasan terjejas termasuklah laluan kedua-dua arah di kilometer (km) 305.4 Sungai Besi menuju Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UPM ke Sungai Besi.
Laluan lain di ibu kota turut terjejas antaranya Lebuh raya Sultan Iskandar, Jalan Klang Lama, Jalan Genting Klang, Jalan Istana, Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching. -K! ONLINE