GEORGE TOWN – Perayaan Deepavali kali ini disambut dengan suasana norma baharu namun penuh kemeriahan dan kunjungan sanak-saudara serta sahabat handal.
Rata-rata penganut Hindu di negeri ini tidak menang tangan menerima kehadiran tetamu jauh pada perayaan itu hari ini setelah sekian lama tidak bertemu berikutan penularan pandemik Covid-19.
Bagi pasangan suami isteri, N.V Subbarow, 68, dan isterinya, 56, mereka tetap menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dalam sesi kunjungan tetamu di kediaman mereka di Bayan Baru di sini.
Menurut Subbarow, dia terpaksa menghadkan jumlah kehadiran tetamu selain mengamalkan penjarakan fizikal dan memeriksa suhu badan sebelum memasuki ke rumah.
“Sambutan perayaan Deepavali tahun ini sangat meriah dan kami berasa puas kerana berpeluang bertemu sahabat handal yang sudah lama tidak bertemu.
“Kali ini, saya hanya menjemput 10 sahabat handal datang beraya di rumah dan menikmati makan tengah hari yang ditempah dari sebuah restoran.
“Hidangan hari raya, manisan dan muruku juga dibungkus dan diagihkan kepada jiran dan pekerja di bangunan kediaman ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi kakitangan awam, K. Dharmeswary, 40, pula memberitahu, perayaan Deepavali kali ini kembali menyatukan hubungan kekeluargaan dan masyarakat sekeliling.
“Kami sekeluarga berpeluang mengadakan upacara sembahyang di kuil berdekatan rumah selain menikmati juadah bersama-sama rakan dan jiran tetangga.
“Persiapan perayaan kali ini berbeza berbanding tahun lalu dan saya sempat menyiapkan juadah wajib beserta manisan untuk dinikmati pada pagi raya,” jelasnya. – K! ONLINE