GARA-GARA terlalu fanatik, seorang pensohor media sosial asal Filipina, Christian Albert Gaza sanggup berhabis RM123,000 (1.5 juta Peso) menyewa sebuah papan iklan di Seoul, Korea Selatan membawa ahli kumpulan Blackpink, Jennie keluar makan malam bersamanya.
Menerusi satu entri yang dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, Gaza, 28, yang juga seorang ahli perniagaan berbuat demikian kerana sudah tiada idea lain untuk mendekati penyanyi itu.
“Kim Jennie Ruby Jane, awak adalah orang yang paling saya minati sejak dahulu lagi.
“Bolehkah saya membawa awak keluar makan malam dan menjadikan saya lelaki paling bahagia dalam kehidupan ini,” tulisnya menerusi entri tersebut.
Menurut Gaza, papan iklan tersebut terletak di Yongsan-gu, Seoul iaitu beberapa kilometer dari pejabat syarikat pengurusan Blackpink, YG Entertainment.
“Saya tak tahu bagaimana untuk hubungi dia, saya terpaksa gunakan perkhidmatan syarikat pembekal papan iklan di bandar Korea Selatan.
“Saya harap dia (Jennie) berkata ya akan pelawaan saya ini,” katanya lagi.
Perkongsian jejaka tersebut telah mendapat 17,000 komen dan lebih 26,000 perkongsian dengan tanda pagar #JennieChritianDinnerDate.
Meninjau ruangan komen, terdapat netizen menyokong tindakan berani Gaza namun tidak kurang juga yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai menakutkan.
Terdahulu, Gaza pada tahun 2017 pernah melakukan perkara serupa apabila mengajak seorang aktres Filipina, Erich Gonzales untuk keluar minum bersamanya. – K! ONLINE