KOTA MARUDU – Seorang guru tabika wanita ditemui meninggal dunia dalam kereta jenis Perodua Myvi miliknya yang diletakkan berhampiran sebuah restoran di Pusat Komersil Langkon semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 7 malam itu, mangsa yang berusia 48 tahun berkenaan awalnya ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan pada pukul 7.22 malam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan enjin serta muzik kereta yang masih hidup.
“Sebaik kenderaan berjaya dibuka, pemeriksaan awal fizikal yang dijalankan pegawai perubatan Hospital Kota Marudu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Zairolnizal menyatakan siasatan lanjut tidak menemui sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
Bagaimanapun, beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – K! ONLINE