GEORGE TOWN – Sebanyak 1,072 individu diperiksa manakala enam daripadanya ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan malam tadi di seluruh negeri ini sempena perayaan Deepavali.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi lima jam bermula pukul 11 malam itu, sebanyak 945 kenderaan diperiksa dan 240 kompaun telah dikeluarkan.
Mohd. Shuhaily berkata, pihak polis telah menjalankan sekatan jalan raya di tujuh lokasi di lima daerah di negeri ini iaitu Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.
“Polis mengeluarkan sebanyak 240 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“Selain itu, polis telah membuat enam tangkapan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya menerusi kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.
Menurut beliau, statistik jumlah tangkapan menerusia Op Mabuk meningkat selepas rentas negeri dibenarkan.
“Daripada 11 Oktober hingga 2 November seramai 47 orang telah ditangkap di mana daripada 20 September hingga 10 Oktober iaitu sebelum rentas negeri dibenarkan, hanya 18 orang ditahan,” katanya.
Tambahnya, operasi berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dan pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. – K! ONLINE