MADRID – Pengendali Villareal, Unai Emery mengakui sudah ‘dilamar’ untuk menjadi pengurus kelab terkaya Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United dan kini hanya menunggu surat tawaran rasmi daripada mereka.
Sebagai rekod, jurulatih kelahiran Sepanyol itu menjadi pilihan No. 1 pengurusan tertinggi Newcastle untuk menggantikan posisi Steve Bruce yang dipecat pada bulan lalu.
Kata Emery, Newcastle sememangnya ada menghubunginya untuk menyatakan tawaran lisan jika berminat untuk membimbing pasukan dalam masa terdekat.
“Saya ada dihubungi pihak Newcastle tetapi itu bukanlah sesuatu yang rasmi kerana mereka perlu memberikan tawaran hitam putih memandangkan saya masih memiliki kontrak bersama Villareal.
“Bagaimanapun, saya akan berbincang dahulu dahulu dengan presiden kelab, Fernando Puig kerana saya sentiasa terbuka untuk berhijrah tetapi fokus utama sudah tentu bersama Villareal,” katanya selepas menyaksikan pasukan menang 2-0 ke atas Young Boys pada aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
Difahamkan, skuad The Magpies tidak mempunyai masalah untuk membayar pampasan sebanyak €6 juta (RM28.8 juta) kepada Villareal bagi menebus kontrak bekas pengendali Arsenal itu.
Emery sememangnya dianggap antara pengendali berbakat Eropah selepas berjaya membantu Villareal menjuarai Liga Europa musim lalu selain turut cemerlang ketika membimbing Paris Saint-Germain (PSG) dan Valencia. – AGENSI