fbpx

Elemen ‘Keluarga Malaysia’ jadi resepi iklan Deepavali TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Iklan Deepavali 2021 dihasilkan TNB disifatkan sebagai buah tangan yang mampu menyebabkan rakyat Malaysia sebak dan terharu selepas menontonnya.

PETALING JAYA- Terharu dan sebak, itu antara reaksi dilontarkan orang ramai terhadap iklan dihasilkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena sambutan Hari Deepavali 2021 yang diraikan kaum India hari ini.

Menariknya, iklan Deepavali TNB bagi tahun 2021 dilihat mengadunkan resepi ‘Keluarga Malaysia’ di mana elemen perpaduan kaum menjadi antara taruhan utama dalam menghasilkan buah tangan istimewa sempena pesta cahaya tahun ini.

Bercerita mengenai iklan tersebut, TNB dilihat menampilkan kehidupan Encik Samy bersama isterinya di mana lelaki itu mempunyai hobi bercucuk tanam di halaman rumah selain begitu menjaga tanamannya.

Perwatakan Encik Samy diterjemahkan sebagai seorang yang begitu menjaga kebunnya hinggakan dia sanggup menjentik serangga yang menghampiri berikutan tidak mahu tanamannya seperti lengkuas, limau dan cili rosak.

Bagaimanapun, isteri Encik Samy merupakan seorang yang pemurah dan sering membenarkan sayur-sayuran ditanam suaminya dipetik oleh jiran sekiranya mereka kekurangan bahan masakan.

Tindakan isterinya menyebabkan Encik Samy tidak berpuas hati dan seterusnya mengambil keputusan untuk memagar kebunya dengan pagar berduri seperti yang dilihat di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)

Kemuncak iklan itu menampilkan kejadian ribut melanda kawasan perumahan dan menyebabkan kebun Encik Samy rosak sekali gus menjadi muram ketika meraikan Deepavali.

Pun begitu, tindakan jiran-jiran menghantar makanan dengan bahan mentah diambil daripada kebun Encik Samy menjadi penutup kepada penceritaan iklan itu sekali gus membawa mesej kebaikan akan terus dibalas dengan perkara baik.

Melihat kepada iklan itu, orang ramai terus memuji usaha TNB dalam menyatupadukan rakyat Malaysia menerusi iklan perayaan yang ditampilkan pada setiap tahun.

“Iklan TNB tidak pernah mengecewakan, Selamat Hari Deepavali untuk semua kaum India, semoga hubungan antara kita terus terjalin erat,” kata @Hasmah Humaira.

“Iklan TNB dan Petronas memang penyeri setiap perayaan di Malaysia,” jelas @Nagakramat Merah.

“Terima kasih TNB, konsep yang bagus dengan menunjukkan konsep kehidupan kita, iaitu perpaduan,” ucap @Mahendran Ramasamy. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI