KAMPAR – Keberanian anggota bomba menyeberangi sungai deras berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di atas batu akibat kepala air di Sungai Dipang dekat Kampung Sahom di sini petang tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku semasa kanak-kanak tersebut datang berkelah bersama keluarga di lokasi tumpuan pengunjung itu.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.59 petang.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dibantu pasukan perubatan dari BBP Tapah.
“Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 12 tahun terperangkap di tengah sungai.
“Komander operasi mengarahkan anggota menyeberangi sungai membawa tali seterusnya melakukan tindakan menyelamatkan mangsa,” ujar jurucakap tersebut.
Dua anggota bomba yang menyeberangi sungai berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut seterusnya membawa dia ke tebing.
Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya dan dia disahkan dalam keadaan selamat.
Operasi yang diketuai PgKB II Sabarodzi Noh Ahmad tamat sepenuhnya pada pukul 5.51 petang. – K! ONLINE.